Monday, January 27, 2014

Peludah Bangsa ( A. SAMAD SAID )

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ketika lahir jeritnya amat mesra-hening suara bayi pertama.

Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.
Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.
Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan dasa-
insan harapan kerdip pertama yang bakal bersinar sebagai pendakwah.



Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.

Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.
Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.
Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:
Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.



Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;

pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.
Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;
masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.
Sebaik menyingsing SatuMalaysia mula terbelah percik mimpinya.



Tapi, kuasa tersangat nikmatnya-darjat dan harta sebuah buana.

Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.
Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.
Terakhir, dengar kisah lupanya – semua dangkal kecuali dirinya.
Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.



Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.

Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.
Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.
Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.
Sangatlah selesa dan bangga-dirinya tulen peludah bahasa.


4 comments:

Farah Waheda Wahid said...

salam carl, sihat?

Azri al fateh said...

karya pak samad said tak pernah mengecewakan :)

Carl Lesmana said...

@Farah Waheda Wahid wassalam kak farah Alhamdulillah sihat. lama betul tak dengar khabar

Carl Lesmana said...

@Azri al fateh yap . i do love pak samad collections hahaha